CANBERRA: Larangan alkohol akan dikuatkuasa semula membabitkan komuniti orang asli di Australia sebagai tindak balas terhadap peningkatan kadar jenayah.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Ketua Menteri Wilayah Utara (NT) Natasha Fyles pada Isnin mengesahkan bahawa ‘dry zone’ akan dikuatkuasa semula di bandar dan komuniti orang asli berhampiran Alice Springs, lapor Xinhua.

Ia kembali dikuatkuasa kurang 12 bulan selepas larangan pengambilan alkohol ditamatkan pada Julai 2022, menjadikannya sah di beberapa kawasan buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.

Akibatnya, kadar keganasan didorong pengambilan alkohol telah melonjak di Alice Springs, memaksa Datuk Bandar Matt Paterson meminta sokongan Pasukan Pertahanan Australia (ADF).

Albanese melawat wilayah itu pada akhir Januari dan melancarkan semakan yang mengesyorkan larangan itu dikembalikan.

Di bawah undang-undang baharu yang akan diperkenalkan kepada sidang Parlimen NT pada Isnin, masyarakat setempat boleh memohon untuk menarik diri daripada larangan itu jika 60 peratus penduduk tidak menyokong keputusan berkenaan dan mereka mempunyai rancangan pengurusan alkohol. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image