HAMBURG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman, berjaya mengukuhkan persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara.

Anwar yang tiba di Berlin, ibu negara Jerman pada 10 Mac berkata lawatan itu juga, berjaya meningkatkan kerjasama perdagangan dan peluang pelaburan untuk Malaysia.

“Saya percaya menerusi kerjasama pelbagai bidang ini, menjanjikan masa hadapan yang lebih makmur sekali gus membawa manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya pada sidang media di akhir lawatan ke Berlin dan Hamburg.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, melahirkan penghargaan kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta pihak media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil.

Semasa di Berlin, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz, Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck, selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.

Turut serta dalam lawatan ke Jerman ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Dalam pertemuan dengan Scholz dan Steinmeier, Anwar berkata beliau telah menekankan betapa perlunya kuasa-kuasa besar dunia seperti Jerman, menangani dengan segera isu kemanusiaan di Gaza.

“Walaupun ada perbezaan pendapat, nampaknya mereka kini menekankan keperluan untuk menghentikan serangan di Gaza supaya keadaan terjamin, juga penyelesaian ke arah pembentukan dua negara. Maknanya pengiktirafan kepada hak rakyat Palestin yang telah terabai sekian lama,” katanya.

Anwar berkata beliau juga menjelaskan kepada pemimpin Jerman naratif negara-negara barat yang dianggapnya tidak adil terhadap rakyat Palestin, yang tertindas dan terjajah.

Beliau juga berkesempatan mengunjungi masjid di Berlin dan Hamburg untuk bertemu umat Islam di Jerman.

“Syukur kenyataan itu (mengenai Palestin) mendapat liputan meluas bukan hanya di Jerman, malah seluruh dunia. Setiap kali ke masjid, umat Islam daripada pelbagai negara dapat mengikuti kenyataan itu dan ini dapat mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan mempunyai sikap sendiri sebagai negara yang bebas,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia menerima baik jemputan daripada Canselor Scholz untuk menyertai Climate Club dan berharap ia dapat dimanfaatkan dengan pemindahan teknologi dan
pembangunan kapasiti.

Selain itu, Jerman juga bersetuju membantu Malaysia dalam aspek pembangunan kapasiti, khususnya pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta program pertukaran tenaga pekerja di antara pemain industri dan institusi pendidikan.

Mengenai isu kesukaran mengundi pada dua pilihan raya umum lepas yang dibangkitkan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Jerman, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti perkara itu.

“Proses pengundian untuk pengundi luar patut dipermudahkan, tidak seperti sekarang prosesnya banyak. Saya telah minta SPR fikirkan kaedah pelaksanaan, beri ruang pengundi luar,” katanya.

Semasa berada di negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu, Anwar telah melawat Siemens Energy dan bertemu 38 kapten industri dan para pelabur berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis, Nexperia dan Airbus.

Beliau juga berkongsi pandangan dengan pemikir-pemikir di Yayasan Korber, iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik, serta ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelständische Wirtschaft - BVMW).

Di Hamburg, Anwar memberi ucaptama di Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman.

“Saya menerima banyak jemputan untuk memberi ucaptama, termasuk Universiti Berlin dan Hamburg. Namun terpaksa ditolak kerana kesuntukan masa,” katanya.

Jerman merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000, manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.