SEREMBAN: Sebanyak 19,428 premis diperiksa di seluruh negara dalam Ops Pantau bermula 12 Mac hingga semalam membabitkan nilai rampasan lebih RM400,000, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata daripada jumlah itu 81 kes dikesan menerusi 566 laporan diterima melibatkan pelbagai kategori aduan.

“Antara kesalahan diambil tindakan meliputi kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang-barang tiruan.

“KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) mengambil perhatian serius terhadap saranan diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat lapangan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout Bazar Ramadan Rahmah Peringkat Negeri Sembilan di Bazar Ramadan Rahmah Garden Homes (Tapak A), di sini.

Beliau berkata kementerian juga menggerakkan anggota di peringkat ibu pejabat dan negeri bagi pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan selain bekerjasama dengan badan sukarelawan seperti Hero Pengguna, Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan badan bukan kerajaan (NGO) pengguna.

Ops Pantau bertujuan memantau aktiviti perniagaan sepanjang Ramadan dan Syawal dengan penguatkuasaan dijalankan secara berfokus di bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam dan basah, pasar raya besar, kedai runcit dan penjualan dalam talian.

Sementara itu, berhubung cadangan penguatkuasaan pemantauan harga diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi isu harga beras, beliau berkata perkara itu di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Saya baca laporan itu, contoh yang diberikan oleh Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh adalah berkaitan beras, Akta Kawalan Padi dan Beras di bawah kawal selia KPKM dan agensi penguat kuasa ialah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri boleh mencadangkan perkara itu kepada KPDN sekiranya dirasakan wajar dan mungkin projek rintis dijalankan di Melaka.

Berkenaan isu harga makanan meningkat mendadak di bazar Ramadan, beliau menyarankan pengguna melaporkan hal itu kepada KPDN.

“Bagi peniaga melakukan pencatutan, kita mengeluarkan notis dan mereka perlu menjawab struktur kos sehingga menyebabkan harga dijual terlalu tinggi,” katanya.