KOTA BHARU: Sebanyak 75 pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu mengalami keracunan makanan selepas disyaki dihidangkan menu ayam Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin yang mengesahkan kejadian itu berkata mereka yang terlibat berusia antara 13 hingga 17 tahun telah menerima rawatan dan tiada kes masuk wad dilaporkan.

“Kes pertama dikesan pada 20 April dan kes terakhir semalam, ia dipercayai berpunca daripada menu ayam yang dihidangkan kepada pelajar sebuah sekolah menengah,“ katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Ijtimak Madani Ulama dan Umara 2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Dr Zaini berkata sejumlah 70 pelajar mengalami gejala ringan, manakala lima lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang.

Semalam, media melaporkan kira-kira 20 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Kota Bharu menerima rawatan selepas disyaki terkena keracunan makanan.