SEREMBAN: Seramai 177,858 suri rumah dilindungi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) setakat 15 Jun lepas, menurut Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar (gambar).

Beliau berkata sejumlah RM254,617 faedah juga telah dibayar kepada suri rumah berinsurans dan keluarga bagi tempoh program bermula sejak 1 Dis lepas.

“Golongan suri rumah digalak mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR demi perlindungan terhadap bencana domestik, keilatan atau kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.

“Saya menggalakkan para suami agar membayar caruman SKSSR sebanyak RM120 setahun untuk isteri masing-masing sebagai menghargai peranan dan pengorbanan mereka terhadap keluarga,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sivakumar turut menyeru badan bukan kerajaan serta syarikat swasta menaja caruman SKSSR demi kebajikan pekerja mereka, sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Terdahulu Sivakumar menyampaikan faedah kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), R.Chandran di Taman Desa Temiang, di sini.

Chandran, 40, ketika bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat tembakau dekat sini ditimpa kemalangan pada 2012 dan dia menerima faedah RM14,291.62 setelah dirujuk kepada jemaah doktor bagi menentukan faedah hilang upaya kekal itu.

Bapa kepada seorang anak itu mengalami masalah lutut kanan yang menyebabkan dia tidak dapat berdiri lama selain tidak mampu melakukan kerja berat.

Sivakumar berkata Perkeso juga sedang mencari pekerjaan baharu untuk Chandran yang bersesuaian dengan kondisi dirinya.

Perkeso turut menyampaikan sumbangan kepada pekerja swasta, Leong Tai Hee, 49, yang menghidap angin ahmar iaitu pencen RM2,757.08 setiap bulan setelah dirujuk kepada jemaah doktor.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata kerajaan akan meneliti isu bayaran elaun pelajar yang menjalani latihan industri susulan laporan mengenai seorang pelajar universiti awam yang menyuarakan kebimbangan untuk bertahan sepanjang menjalani latihan pada Oktober ini.

“Bagi saya, perkara ini (bayaran eluan) perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan, perkara ini juga telah dibangkitkan dalam Persidangan Buruh Antarabangsa supaya diberi pertimbangan sewajarnya di seluruh dunia.

“Interns ini (pelajar yang menjalani latihan industri) tidak boleh dianggap buruh percuma, kita akan meneliti perkara ini dan saya akan beri maklum balas dalam masa terdekat,“ katanya. - Bernama