IPOH: Polis menahan seorang lelaki dipercayai merosakkan peralatan di sebuah tokong di Kampung Koh, Sitiawan seperti video yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam tadi di sekitar Taiping.

“Polis turut merampas satu telefon bimbit dipercayai digunakan untuk merakam video berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar Perlembagaan sekali gus boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya.