TAIPING: Seorang lelaki ditahan ketika leka memproses bahan untuk menjual air ketum dalam satu serbuan di Kampung Permatang Raja, Padang Gajah dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata dalam serbuan pada 11.15 malam itu, pihaknya berjaya merampas air ketum bernilai kira-kira RM7,000 yang disimpan di dalam plastik dan tong untuk dijual di pasaran tempatan.

“Semasa ditahan lelaki berumur 51 tahun itu sedang memproses bahan untuk menjual air ketum yang sudah dibotolkan.

“Suspek, yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, telah terlibat dengan kegiatan penjualan air ketum hampir empat tahun di kawasan itu sejak 2018,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

Beliau berkata bekalan air ketum yang dirampas dijual pada harga RM10 seliter.

Osman berkata siasatan mendapati suspek memiliki empat kesalahan lampau berkaitan ketum dan ditahan reman tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Katanya polis telah menahan seramai 1,254 pengedar dan penagih dadah dengan nilai sitaan berjumlah RM657,632 sepanjang tahun lepas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image