Lelaki warga emas dibaling sambal tumis sebelum disamun

JASIN: Seorang lelaki warga emas dibaling dengan sambal tumis di bahagian mukanya sebelum disamun dalam kejadian di Kampung Ayer Tawar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 61 tahun turut cedera di beberapa bahagian badan akibat dipukul suspek menggunakan kerusi plastik beberapa kali.

“Ketika kejadian mangsa yang berada di rumah seorang diri sedang berbaring di atas katil berdekatan pintu belakang, sebelum seorang lelaki yang memakai topi keledar dan penutup muka berusia 30-an berdiri di pintu tersebut serta bertindak membaling sambal tumis ke muka mangsa.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menampar serta memukul mangsa menggunakan kerusi plastik beberapa kali sebelum warga emas berkenaan menjerit meminta tolong namun tiada siapa yang datang membantunya,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian mengambil beg sandang mangsa yang mengandungi wang tunai sebanyak RM400, beberapa kad bank serta lesen memandu sebelum bertindak melarikan diri.

Menurutnya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.