SHAH ALAM: Lima penjawat awam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima suapan berjumlah RM3,000 hingga RM15,000 daripada kontraktor berkait kerja pembersihan antara 2018 hingga 2020.

Perintah reman terhadap empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 32 hingga 42 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman di Mahkamah Majistret di sini, selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai telah melakukan kesalahan berkenaan antara 2018 hingga 2020 sebagai balasan untuk tidak mengenakan pemotongan bayaran kepada kontraktor bagi kerja-kerja kontrak pembersihan di sebuah premis pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek ditahan di pejabat SPRM Selangor.