PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar rayuan kerajaan Malaysia dan Peguam Negara untuk membatalkan dua saman dikemukakan Lawyers for Liberty (LFL) terhadap kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan dan Peguam Negara mengesahkan tarikh pendengaran berkenaan ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 16 Mei tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada kerajaan Malaysia dan Peguam Negara untuk meneruskan rayuan mereka.

Mereka mahu Mahkamah Persekutuan menentukan tujuh persoalan undang-undang.

Kedua-dua saman itu difailkan oleh LFL pada 2020 selepas Singapura, di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), mengarahkan kumpulan hak asasi itu memasukkan notis pembetulan berkaitan kenyataan medianya yang disiarkan di laman webnya yang mendakwa kaedah kejam dan menyalahi undang-undang digunakan untuk menghukum mati banduan di penjara Changi, Singapura.

LFL memfailkan saman pertama terhadap kerajaan Malaysia, memohon deklarasi antara lain LFL tidak boleh tertakluk kepada sebarang proses di Malaysia lanjutan daripada undang-undang Singapura.

Saman kedua yang difailkan LFL adalah terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura, memohon perisytiharan bahawa arahan pembetulan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap kumpulan itu di Singapura.

Pada 23 Dis 2020, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Peguam Negara untuk bertindak sebagai pencelah dalam saman kedua.

Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara kemudian memohon untuk membatalkan kedua-dua saman itu atas alasan bahawa melalui perakuan yang dikeluarkan oleh Yang-di-Pertuan Agong bertarikh 16 April 2020, Malaysia mengiktiraf Singapura sebagai berdaulat asing dan oleh itu Singapura menikmati imuniti berkenaan dengan arahan pembetulan itu dan keputusan menteri Singapura itu.

Pada 10 Jun, 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan malaysia dan P{eguan Negara untuk membatalkan saman itu.

Bagaimanapun, pada 20 Julai, 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan LFL dan memerintahkan saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh di hadapan hakim lain.-Bernama