KUALA LUMPUR: Malaysia menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat yang berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata ini merupakan pencapaian yang amat positif sepanjang dua minggu pertama penyertaan Malaysia di ekspo mega tersebut, ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca-Covid-19.

“Momentum ini dijangka berterusan untuk 25 minggu akan datang dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terlibat sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata jumlah keseluruhan untuk potensi perdagangan dan pelaburan tersebut diperolehi menerusi 14 Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Surat Niat (LoI) dan dua Memorandum Kerjasama (MoC) yang ditandatangani 14 syarikat Malaysia dengan rakan-rakan strategik mereka dari luar negara.

Syarikat-syarikat luar negara tersebut berpangkalan di China, Mesir, India, Iran, Oman, Qatar, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat, katanya.

Ismail Sabri berkata MoU tersebut antara lain merangkumi bidang ‘blockchain’ dan Internet Pelbagai Benda, minyak dan gas, robotik dan automasi, penternakan akuatik dan bioteknologi, keusahawanan dalam sektor berintensifkan teknologi, kenderaan udara tanpa pemandu, teknologi termal dan ultrabunyi selain dalam penyelidikan dan pembangunan serta teknologi pengekstrakan herba.

Beliau berkata LoI dan MoC pula melibatkan fabrikasi 1,000 unit modular rumah pintar hijau, pengedaran eksklusif kapal tanpa pemandu, sistem pertanian menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan penyenggaraan jangkaan bagi penyelesaian projek.

Pavilion Malaysia, yang direka sebagai Kanopi Hutan Hujan dan bertemakan ‘Energizing Sustainability’ di Ekspo 2020 Dubai, turut mencatatkan lebih 50,000 pengunjung sepanjang 1 hingga 14 Okt, 2021.

Perdana menteri berkata kerajaan yakin Malaysia akan mencatatkan potensi perniagaan dan perdagangan yang mengatasi jumlah sasaran di antara RM8 bilion dengan RM10 bilion dalam ekspo selama enam bulan itu.

Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai, dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.-Bernama