JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor menggagalkan cubaan membawa masuk kira-kira 22 tan karkas babi tanpa permit dari Singapura, Ahad lepas.

Pengarah MAQIS Johor Edie Putra Md Yusof berkata karkas dengan nilai hampir RM600,000 itu dikesan hasil penahanan sebuah lori di Bay Pemeriksaan Import Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri pada 1.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati konsainan tersebut tiada sebarang dokumen seperti permit import MAQIS dan Sijil Kesihatan Veterinar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian agar tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisme yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.