SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan sebuah kontena membawa daging babi sejuk beku dari Australia bernilai RM180,000 di Pelabuhan Klang Barat, Klang dekat sini tiga hari lepas, kerana tidak mematuhi syarat permit import yang dikeluarkan pihaknya.

Pengarahnya Mohd Sobri Md Hashim berkata kontena membawa daging seberat 24 tan itu ditahan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan sekitar pukul 10 pagi.

“Pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan label loji penyembelihan yang diiktiraf pada bungkusan dagangan seperti yang dinyatakan dalam syarat permit import yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import Maqis adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image