PASIR PUTEH: Maritim Kelantan menahan sebanyak 23 individu warga Vietnam kerana disyaki menceroboh perairan negara dan menangkap hasil laut dianggarkan bernilai RM3 juta di muara sungai Tok Bali di sini pada Sabtu lepas.

Pengarah Maritim Kelantan Kpt Erwan Shah Soahdi berkata kesemua tangkapan dilakukan oleh sebuah kapal maritim yang sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia – Vietnam dalam Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris.

Beliau berkata kedua-dua bot telah dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 11 pagi sebelum bot pertama berjaya ditahan pada 11.28 pagi dan diikuti bot kedua pada 12.14 tengah hari.

Menurutnya, kedua-dua bot pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot.

“Melihat keadaan yang berlarutan, kapal maritim bertindak memintas bot dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot-bot berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan hari ini.

Erwan Shah berkata hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dan kedua masing-masing mempunyai 18 dan lima kru termasuk tekong berumur antara 16 hingga 55 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bot yang ditahan merupakan bot nelayan asing Vietnam, manakala proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 35 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Kelantan kira-kira 11 malam, Ahad lepas untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Selain dua bot yang ditahan, tangkapan pada kali ini turut melibatkan rampasan kira-kira 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,500 liter,” katanya.

Erwan Shah berkata kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Selain itu, dua tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kesemua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan 09-778 0070,” katanya. - Bernama