KOTA KINABALU: Masyarakat digesa supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak insiden kebakaran tidak terkawal di Sabah, lebih-lebih lagi dalam cuaca panas ketika ini, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew.

Beliau berkata kebakaran tidak terkawal yang berlaku dalam beberapa hari ini difahamkan tercetus akibat pembakaran terbuka seperti pembuangan puntung rokok, sekali gus menyumbang kepada keadaan berjerebu di sesuatu tempat.

“Orang ramai perlu sedar akan kepentingan kesihatan masing-masing dan mengelak apa-apa aktiviti ketika musim kemarau ini, khususnya pembakaran terbuka,“ katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Liew turut menyeru orang ramai agar mematuhi saranan pihak berkuasa mengenai langkah mengelak pembakaran terbuka demi keselamatan dan keselesaan bersama.

Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, lebih 960 kes kebakaran terbuka direkodkan sejak Januari lepas melibatkan kes kebakaran belukar, lalang, kebun, ladang, hutan dan gambut di seluruh negeri.

Kimanis hari ini mencatatkan kualiti udara tercemar dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 154 iaitu paras tidak sihat sehingga 9 malam tadi. - Bernama