Media City: RTM tidak dapat bersiaran sekiranya projek ditangguh

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah (pix) hari ini menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa sekiranya projek Media City ditangguhkan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak dapat bersiaran.

Ini kerana sebahagian besar peralatan dan sistem yang digunakannya untuk beroperasi ketika ini termasuk dalam skop projek itu, katanya.

Beliau berkata sebahagian projek Media City yang dilaksanakan melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) secara konsep bina, pajak, urus dan pindah (BLMT) itu telah siap dan digunakan oleh RTM untuk bersiaran.

“Peruntukan sebanyak RM125 juta untuk Kompleks Angkasapuri adalah untuk membayar sewaan iaitu ‘availability charges’ Projek Media City.

“Skop projek ini ialah memperlengkap bangunan RTM sedia ada dengan peralatan penyiaran baharu dan juga menaik taraf peralatan penyiaran sedia ada daripada format Standard Definition (SD) ke format High Definition (HD),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Saifuddin, projek Media City juga sejajar dengan Projek Pendigitalan Nasional iaitu migrasi TV analog ke siaran TV digital seluruh negara.

Mengenai perkhidmatan panggilan kecemasan MERS 999, Saifuddin berkata sistem itu akan diteruskan dan pada masa sama ia akan dimigrasi ke Sistem Next Generation Emergency Services (NG999) yang baharu.

“Sistem NG999 baharu ini akan mengambil kira perkembangan teknologi baharu seperti Artificial Intelligence (AI), Big Data Analytics (BDA), Internet of Things (IoT) dan 5G, bagi menghasilkan satu sistem yang lebih mantap, cekap dan berkesan sekali gus menambah baik perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. — Bernama