KUALA LUMPUR: Mekanisme pelaksanaan pemberian subsisdi bersasar masih dalam pertimbangan dan dijangka tidak meningkatkan kos kepada industri sedia ada.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying juga menegaskan bahawa kerajaan akan tetap menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi berkesan kepada pihak industri agar tidak menyebabkan sebarang kejutan ekonomi.

“Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat, tertakluk kepada ketersediaan berasaskan model bersesuaian dan kebolehlaksanaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta Menteri Kewangan memberi butiran mengenai kaedah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam memperkenalkan skim subsidi bersasar.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata kerajaan akan menumpukan penyasaran subsidi diesel terlebih dahulu melalui kaedah dan mekanisme diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 6 Mac lepas, sebagaimana dinyatakan dalam Belanjawan 2024.

“Perluasan pemberian di bawah sistem kawalan subsidi diesel 2.0 (SKDS 2.0) kepada sembilan jenis kenderaan barangan telah dibuka untuk permohonan bermula 7 Mac, 2024 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 260,000 kenderaan,” katanya.

Lim berkata bagi tempoh 8-16 Mac, 2024, lebih 5,800 buah syarikat dan 34,400 bilangan kenderaan telah berjaya didaftarkan dalam SKDS 2.0.

“Justeru kerajaan meminta agar semua pemilik kenderaan yang layak, berdaftar di bawah SKDS 2.0 supaya dapat terus menikmati subsidi di masa hadapan,” katanya.

Pengangkutan awam di bawah SKDS sedia ada termasuk van, bas sekolah serta golongan nelayan, akan terus menikmati harga diesel sedia ada dan tidak terlibat dalam progam pemberian subsidi diesel secara bersasar.

“Ketika ini semua kenderaan diesel dalam kategori pengangkutan awam di bawah SKDS sedia ada termasuk van dan bas sekolah, menikmati harga diesel bersubsidi pada kadar RM1.88 seliter manakala golongan nelayan pada harga RM1.65 seliter,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan menerusi KPDN juga komited melaksanakan kawalan berterusan ke atas penjualan dan pengedaran barangan kawalan bersubsidi bagi membendung penyelewengan.

Mengulas usaha kerajaan memastikan Sabah tidak menjadi lokasi penyelewengan diesel, beliau berkata inisiatif diambil termasuk arahan mengawal bekalan bagi larangan penjulaan RON95 dan diesel kepada kenderaan asing di stesen minyak di sempadan yang berkuatkuasa sejak 2009 dan sentiasa ditambah baik mengikut situasi semasa.