MELAKA: Kerajaan Melaka bercadang mewujudkan satu kawasan baharu bagi penganjuran bazar Aidilfitri secara berpusat di Banda Hilir mulai tahun depan, sekali gus dilihat mampu menjadi ikonik baharu tarikan pelancongan ke negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jajaran baharu yang dicadang itu akan meliputi kawasan di Jalan Jonker sehingga Pahlawan Walk dengan menyediakan ruang niaga yang lebih besar, selain gah dan menarik.

“Menerusi kaedah ini, penganjuran bazar Aidilfitri iaitu di Jalan Hang Tuah, Klebang dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan digabungkan di bawah satu lokasi sebagai bazar terbesar di negeri ini.

“Kita bercadang tidak membuka bazar di tiga lokasi seperti sebelum ini, tetapi penganjuran bazar Aidilfitri ini digabungkan supaya penjanaan ekonomi di kawasan baharu itu lebih berkembang,“ katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 di Jalan Hang Tuah yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum.

Ab Rauf berkata menerusi penganjuran bazar secara berpusat di kawasan tumpuan strategik itu juga secara tidak langsung akan membantu peniaga-peniaga dan juga kompleks beli-belah di kawasan berkenaan berkembang.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara itu masih di peringkat kajian dan pihaknya sedang menilai kejayaan penganjuran bazar yang diadakan sebelum ini.

“Selain itu, tender penganjur juga akan dibuka kepada sesiapa sahaja yang memberi nilai tambah yang baik kepada pihak berkuasa tempatan,“ katanya.