Melaka catat 886 kes cubaan rentas negeri - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Melaka mencatatkan cubaan pergerakan rentas negeri tertinggi dengan 886 kes, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Perak kedua tertinggi dengan 362 kes, manakala Pulau Pinang (284).

“Setiap hari saya ulangi jangan buat rentas negeri dan semalam mungkin bila saya umum tiada lagi kebenaran lagi rentas negeri, mungkin ramai yang ingin mengambil kesempatan rentas negeri.

“Mungkin mereka takut hari ini ada sekatan jalan raya dan sebagainya, dan sebab itu ramai yang cuba merentas negeri,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung, telah diarahkan berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Bernama