PUTRAJAYA: Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, sedang berlangsung di Menara SPR di sini.

Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bermula pada 10 pagi itu antaranya bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK berkenaan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom dan Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak.

SPR akan mengadakan sidang media usai mesyuarat itu.

Pada 26 Mac lepas, Ikmalrudin memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas suruhanjaya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi N06 Kuala Kubu Baharu.

Ikmalrudin berkata sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Bab 5 Fasal (5) Perkara LXX, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku dan disahkan oleh SPR.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.