KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang meneroka potensi penggunaan teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti, kata menteri berkenaan Chang Lih Kang.

Sehubungan itu, katanya MOSTI akan mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi hidrogen, seterusnya mewujudkan kumpulan pengguna atau pengguna akhir di Malaysia.

Chang berkata MOSTI telah mengadakan satu sesi demonstrasi dan sesi pandu uji di ruang lobi Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk berkongsi mengenai potensi teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti, selari dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.

“Selain itu, ia juga sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR),“ katanya dalam kenyataan pada hari Selasa (Mac 26).

Hadir sama ialah Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Chang, MOSTI juga dijangka membina sebuah Stesen Pengisian Bahan Api Hidrogen Mudah Alih (MHRS) melalui kerjasama dengan pihak swasta, membuktikan kebolehan dan kepakaran yang dimiliki oleh bakat tempatan dalam menerajui ekonomi hidrogen.