SUNGAI PETANI: Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan di pusat tahfiz berupaya memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pelajar serta memberi peluang kerjaya yang lebih luas kepada mereka pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata pelajar yang mengikuti bidang TVET bukan sahaja boleh berkecimpung dalam bidang kerjaya berkaitan agama tetapi juga bidang lain sesuai dengan kemahiran yang dimiliki.

“Kita boleh lahirkan bukan sahaja hufaz yang boleh menghafal al-Quran, tetapi pada masa yang sama mereka yang berkemahiran dan kita jenamakan mereka sebagai teknokrat MADANI sesuai dengan gagasan negara kita Malaysia MADANI.

“Ini yang kita mahu, bukan sahaja mereka boleh menjadi imam nanti, bukan sahaja boleh menjadi guru agama atau terlibat dalam pengurusan masjid, tetapi mereka boleh menjadi juruelektrik dan sebagainya,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tahfiz Vokasional Ahmadiah Rakan Kongsi Strategik Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini hari ini.

Turut hadir Mudir Tahfiz Vokasional Ahmadiah Fadzil Noor Sahani dan calon Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri Gurun bagi Pilihan Raya Negeri Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Dalam pada itu, Fadzil Noor berkata Tahfiz Vokasional Ahmadiah mendapat sokongan daripada ILP Kepala Batas bagi menjalankan jurusan mekanikal untuk pelajar di pusat tahfiz berkenaan.

“Kita mendapat kebenaran pentauliahan pusat sebagai tempat yang bukan hanya menawarkan sijil kemahiran kepada pelajar tahfiz namun turut dibuka kepada individu lain yang berminat,“ katanya.

Sementara itu, Mohammed Firdaus berkata usaha itu merupakan satu daripada perkara dalam manifestonya pada PRN kali ini untuk memperkasakan TVET vokasional MADANI bagi golongan muda khususnya pelajar tahfiz di kawasan itu.

“Program TVET ini akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz...pelajar tahfiz ini juga boleh menyertai program MyFuture Jobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang banyak syarikat swasta menawarkan peluang pekerjaan,“ katanya. - Bernama