PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara, menyumbangkan bantuan Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN) RM3,000, kepada waris anggota keluarga mangsa nahas dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan yang akan diagihkan dalam masa terdekat itu, diharapkan dapat meringankan bebanan yang dialami keluarga mangsa.

“Saya akan menghulurkan sendiri bantuan (PEKA YKN) kepada keluarga mangsa di Sarawak, manakala timbalan saya (Datuk Seri Dr Noraini Ahmad) akan menyantuni keluarga mangsa di Sabah dan Lumut,” katanya kepada media selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Mangsa Tragedi Nahas Helikopter, di sini hari ini.

Kira-kira 200 warga kerja kementerian itu menyertai bacaan Yasin yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam KPWKM Ustaz Muhammad Zaid Jumali.

Nancy berkata KPWKM juga akan menyantuni keluarga mangsa, dengan pendekatan melalui bimbingan kaunseling oleh kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dalam memberi sokongan serta rujukan bantuan yang disediakan jabatan agensi di bawah KPWKM.

Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa, termasuk anak-anak mangsa yang masih bersekolah.

“Kementerian sentiasa komited membantu mereka yang memerlukan, termasuk waris keluarga mangsa yang kini mungkin hilang tempat untuk bergantung bagi meneruskan kehidupan.

“Saya dan seluruh warga kerja KPWKM berdukacita serta mendoakan agar roh mangsa korban ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh,” katanya.

Tragedi pagi semalam yang membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumur Perak, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.