KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk menukar nama Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, manakala nama Kementerian Pembangunan Perindustrian Negeri pula ditukar kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan perkara itu berkata jemaah menteri Kabinet Sabah meluluskan pertukaran nama itu supaya objektif, fungsi dan peranan kementerian menjadi lebih jelas, khususnya mengenai keterjaminan makanan dan kepentingan usahawan termasuk usahawan kecil dan sederhana.

“Dengan rombakan Kabinet negeri dan penstrukturan semula kabinet Persekutuan, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menyelaraskan bidang kuasa setiap anggota kabinet negeri kepada Kementerian Persekutuan masing-masing di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya kerajaan negeri juga telah melantik beberapa pengerusi penganjur untuk pelbagai sambutan dan acara perayaan yang dirancang di negeri Sabah.

Menurutnya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dilantik menjadi pengerusi penganjur sambutan Maulidur Rasul, Tilawah Al-Quran, Maal Hijrah dan Hari Raya Aidil Fitri, manakala Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan diberi tanggungjawab sebagai pengerusi Sambutan Pesta Kaamatan.

Selain itu Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun diberi peranan menerajui penganjuran sambutan Hari Kebangsaan; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew bagi penganjuran Hari Malaysia; manakala Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam bagi sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang Dipertua Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kapayan Jannie Lasimbang pula dilantik menjadi Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa Sabah (KPD), dan beliau menerajui agensi negeri di bawah MAFFI itu berkuat kuasa dari 19 Jan lepas.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Presiden Parti Bersatu Sabah yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pula dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) hari ini.

Ongkili, yang mempunyai pengalaman luas dan pernah menerajui beberapa kementerian peringkat persekutuan berkata beliau akan menggunakan seluruh kepakarannya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada ECoS dan industri tenaga di Zabah.

“Kita akan pastikan sebarang isu berkaitan dengan ECoS dilaksanakan untuk kebaikan negeri Sabah dan penduduknya,” katanya. - Bernama