KUALA LUMPUR: Pengendali sementara Selangor FC Nidzam Jamil, hari ini diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih kelab itu bagi musim 2024/25, yang dijadual bermula Mei ini.

Dalam kenyataan kelab hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata Nidzam ialah calon tepat untuk mengemudi skuad Gergasi Merah, berdasarkan rekod dan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak tempatan.

“Kami telah membuat penilaian secara terperinci dan kolektif, serta melihat keupayaan ditunjukkan Nidzam semasa berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih, untuk musim-musim sebelum ini.

“Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab, serta amat mengenali para pemain Selangor. Bagi kami, beliau insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran Selangor bagi musim 2024/25,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pihak pengurusan amat berbangga dan berbesar hati mengumumkan Nidzam sebagai ketua jurulatih baharu.

“Semoga dengan pelantikan serta kepercayaan ini, Nidzam Jamil akan dapat membuktikan keupayaan beliau sebagai ketua jurulatih yang disegani di Malaysia dan juga di pentas Asia bersama Selangor,” katanya.

Dilahirkan dan membesar di Kajang, Nidzam pernah menyarung jersi Selangor pada tahun 2000 sehingga 2004.

Antara pencapaian bekas pengendali Felda United FC berusia 43 tahun itu sebagai pemain bersama Selangor ialah kejayaan menjulang Piala FA 2001 dan Piala Sumbangsih serta Piala Malaysia 2002.

Nidzam sebelum ini pernah menjadi penolong ketua jurulatih Selangor bagi membantu Michael Feichtenbeiner pada musim 2022, sebelum dilantik sebagai pengendali sementara dalam tahun yang sama dan kembali menjadi penolong ketua jurulatih pada musim berikutnya, selepas kehadiran Tan Cheng Hoe.

Hujung bulan lepas, beliau kembali diumumkan sebagai pengendali sementara selepas Cheng Hoe meninggalkan pasukan untuk membimbing kelab di Thailand.

Selain bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M), Selangor yang muncul naib juara Liga Super 2023 juga akan berentap dalam kancah Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL 2) 2024/25.