KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan mula bercuti daripada memegang jawatan tertinggi parti itu bermula 1 Jun.

Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki berkata pada tempoh tersebut, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Joachim Gunasalam akan meneraju parti sebagai pemangku presiden.

“Dengan Joachim yang merupakan timbalan presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam parti itu menjadi pemangku presiden, Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai akan melaksanakan tanggungjawab tambahan sebagai pemangku timbalan presiden,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Julita berkata langkah itu menunjukkan komitmen parti untuk memastikan kesinambungan dan penyesuaian dalam struktur kepimpinannya, yang menjaga kepentingan parti dan ahlinya.

Pada Jun 2022, Ongkili telah menetapkan tempoh masa untuk mengenal pasti penggantinya sebagai presiden parti dan menyatakan bahawa peralihan kepimpinan boleh berlaku sebelum atau semasa kongres parti itu akan datang.

PBS merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah yang membentuk kerajaan negeri, dengan Joachim sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sabah.

Parti itu mempunyai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.