KUALA NERUS: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 47 notis membabitkan nilaian kompaun berjumlah RM13,000 atas kesalahan merokok di kawasan larangan di daerah ini menerusi pelaksanaan Op Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2, 2024.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Kasemani Embong berkata turut direkod di bawah penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 melalui pemeriksaan di 33 premis sepanjang operasi yang bermula semalam sehingga tengah hari tadi, ialah kesalahan merokok di kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) dan melibatkan orang belum dewasa.

“Selain itu, Op Cakna yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat melalui aktiviti penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam turut meliputi Akta Serangga Pembawa Penyakit (ASPP) 1975 dan Akta Makanan 1983.

“Bagi ASPP 1975, kita telah periksa 13 premis tumpuan awam seperti hotel dan inap desa. Sebanyak tiga pembiakan positif dikesan dengan nilai kompaun yang dikeluarkan sebanyak RM1,500 dan dua notis di bawah Seksyen 8 akta sama dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutupan Op Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2, 2024 di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus di sini hari ini.

Dr Kasemani berkata menerusi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di bawah Akta Makanan 1983 pula, pihaknya telah memeriksa 32 premis dan mengeluarkan 49 notis dengan RM9,550 nilaian kompaun.

“Di bawah Seksyen 11 akta sama, dua premis telah diarahkan tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih dan hanya dibenarkan beroperasi selepas tindakan pembetulan diambil.

“Keseluruhannya, Op Cakna kali ini telah memeriksa sebanyak 78 premis bagi penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam dan sebanyak 99 notis kesalahan dikeluarkan dengan jumlah kompaun RM24,050,“ katanya.

Sementara itu, mengenai video tular di media sosial semalam berhubung lima individu dipercayai daripada sebuah keluarga mengalami gejala keracunan makanan setelah memakan kuih yang dibeli di sebuah pasar awam di Marang, beliau berkata perkara itu kini dalam siasatan JKNT.

“Kami ada menerima info mengenai kes keracunan makanan yang tular itu ... ia kini dalam siasatan JKNT. Keadaan mangsa dilaporkan stabil dengan empat daripada mereka dirawat sebagai pesakit dalam di sebuah hospital,“ katanya sambil mengesahkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihaknya dalam masa terdekat.

Terdahulu, pemilik akaun media sosial dengan nama Putera Hakiem menceritakan keadaan ahli keluarganya yang dikatakan mengalami gejala keracunan makanan dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah memakan sejenis kuih yang dibeli di sebuah pasar awam.