PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah merekodkan 104 kes tangkapan dengan nilai tangkapan hampir RM5.5 juta sehingga semalam, sejak Op Khas Pagar Laut 1/2024 mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Ketua Pengarah Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata Maritim Malaysia melalui operasi itu, telah bertindak mengawal dan melindung negara daripada pelbagai ancaman jenayah di perairan seluruh negara.

Beliau berkata barangan kawalan bersubsidi seperti beras, minyak masak akan cuba diseludup keluar untuk jualan di negara jiran kerana permintaan tinggi, malah penyeludupan masuk barangan kontraband seperti rokok serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), turut berkemungkinan berlaku menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Di sebalik kegembiraan rakyat Malaysia meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, pasukan keselamatan seperti Maritim Malaysia telah mengetepikan keutamaan diri dan keluarga demi menabur bakti serta keringat kepada negara, dengan menjaga keselamatan Zon Maritim Malaysia,” katanya di dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu sempena pelancaran Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) Maritim Malaysia yang bertajuk Ikhlas di saluran media sosial rasmi agensi itu.

Berdurasi 2:23 minit, video PSA berkenaan memaparkan pengorbanan yang dicurahkan oleh penguat kuasa Maritim Malaysia, dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara khususnya rakyat Malaysia sempena menyambut kedatangan lebaran yang bakal diraikan pada minggu hadapan.

Hamid berkata keamanan dan keselamatan negara perlu disyukuri oleh setiap rakyat Malaysia kerana di sebalik apa yang dikecapi kini, merupakan dari sebuah pengorbanan ikhlas pasukan keselamatan yang menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata keselamatan perairan menjadi keutamaan, kerana Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang terletak di Asia Tenggara dengan beberapa kawasan perairannya menjadi tumpuan kegiatan perikanan dan perdagangan, yang boleh membuka ruang untuk pihak tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti pelanggaran undang-undang khususnya jenayah rentas sempadan.