KUANTAN: Seramai 158 individu termasuk 128 wanita warga asing ditahan dalam 27 serbuan melibatkan premis restoran, hotel dan pusat hiburan sepanjang tempoh sebulan Op Noda Khas bagi membanteras aktiviti pelacuran di negeri ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemua yang ditahan dalam operasi bermula 27 Feb hingga 31 Mac itu berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun di beberapa lokasi di Kuantan, Temerloh, Bentong, Raub, Lipis dan Jerantut.

“Daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 21 lelaki dan lapan wanita terdiri warga tempatan yang merupakan pemilik dan penjaga pusat hiburan, restoran hiburan dan rumah urut.

“Seramai 128 wanita warga asing yang (ditahan) terdiri daripada 97 warganegara Thailand, sembilan (Indonesia), lapan (Laos), sembilan (Vietnam) dan lima (China) yang disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran dan GRO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis juga mengambil tindakan ke atas tujuh premis hiburan yang berselindung di sebalik lesen premis restoran yang menjalankan kegiatan menggaji wanita warga asing bagi melayan pelanggan.

Yahaya berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1969/63 kerana menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit kerja yang sah dan jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang digaji.

“Siasatan (turut melibatkan) Seksyen 15(1)(c) Akta Imigrisen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dbenarkan di negara ini, Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan seks bagi maksud persundalan serta Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

Beliau berkata siasatan juga turut dijalankan di bawah, Seksyen 4(1)(b) Enakmen Hiburan Negeri Pahang 1993 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan yang sah dan Kaedah 30 Enakmen Hiburan Negeri Pahang 1993 kerana menjalankan perniagaan hiburan melebihi masa ditetapkan.

“Op ini dijalankan bagi membanteras kegiatan maksiat dan pelacuran serta mengambil tindakan ke atas premis-premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen hiburan awam dan pemiik premis serta majikan diingatkan agar tidak melanggar peruntukan undang-undang dengan menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya.