BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 197 notis saman terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi Op Rempit di Plaza Tol Sungai Dua dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), awal pagi tadi.

JPJ Pulau Pinang dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan operasi dijalankan Unit Operasi jabatan itu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertujuan mencegah aktiviti lumba haram atau uji kelajuan motosikal, yang sering dikesan berlaku pada lewat malam ke awal pagi.

“JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 197 notis saman dan menyita 11 motosikal. JSPT Bukit Aman mengeluarkan 34 saman dan lima kompaun manakala JAS pula 18 notis uji semula,” menurut hantaran berkenaan.

Menurut JPJ antara kesalahan yang dikesan dalam operasi berkenaan ialah mengubah suai motosikal secara ekstrem bagi tujuan menambah kelajuan, ‘tayar sotong’, tiada brek belakang, tidak mempamer nombor pendaftaran, menukar ‘swing arm’ dan mengubah suai ekzos.

Kesalahan lain seperti memandu bawah umur, tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans dan tidak menggunakan lorong motosikal.