PASIR MAS: Sebanyak 153 kes dengan pelbagai barangan rampasan bernilai RM3.2 juta dicatatkan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan dalam tempoh sebulan.

Melalui op ini, seramai 119 individu telah ditahan.

Timbalan Komander Briged Tenggara PGA ACP Hakemal Hawari berkata meskipun bertugas sepanjang Aidilfitri, pencapaian berkenaan boleh dianggap sebagai amat baik.

Beliau berkata jumlah rampasan terbesar melibatkan 16 kes kesalahan di bawah Akta Kastam dengan nilai rampasan berjumlah RM 1.03 juta yang membabitkan penahanan enam orang individu warga tempatan.

“Sepanjang penugasan kali ini, Batalion 7 PGA juga telah mencatatkan 18 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan penahanan dua orang individu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Op Taring Wawasan Kelantan di antara Batalion 7 PGA dengan Batalion 8 PGA bertempat di Bilik Mesyuarat Martak Lubok Setol, Rantau Panjang di sini hari ini.