KUALA LUMPUR: Seramai 59 pendatang tanpa izin termasuk 22 wanita ditahan dalam ‘Ops Sapu’ yang dilaksanakan Jabatan Imigresen ke atas 22 unit kediaman di sebuah apartment di Kepong, awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata kesemua warga asing yang diberkas itu terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, India dan Nepal, ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Penahanan semua pendatang tanpa izin itu adalah hasil risikan selama dua minggu berdasarkan aduan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi berkenaan di sini.

Wan Mohammed Saupee berkata sebanyak 25 saman turut dikeluarkan kepada pemilik premis kerana disyaki melindungi dan membenarkan pendatang tanpa izin menyewa.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat segelintir daripada tahanan didapati menjalankan kegiatan menjual barang jenama tiruan berupa jersi secara dalam talian.

“Kita akan maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berhubung perkara ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.