OPV baru APMM bakal suntik semangat berhadapan kapal pengawal Pantai China

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal mendapat suntikan semangat baru menerusi perolehan tiga lagi Kapal Peronda Luar Pantai (Offshore Patrol Vessel (OPV)) seawal tahun depan, untuk menangani kehadiran kapal Pengawal Pantai China (China Coast Guard (CCG)) di perairan negara.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (pix) hari ini berkata, OPV berukuran 83 meter panjang dan 13.7 meter lebar ini, mampu berada di laut sehingga 30 hari tanpa perlu pulang ke pangkalan dan dapat mengekang isu pencerobohan perairan negara, sama ada oleh CCG mahupun nelayan asing.

“Bagi memantapkan lagi APMM, telah diluluskan pembelian empat buah helikopter yang kita jangka akan diuruskan pembeliannya selewat-lewatnya pada hujung tahun ini,” katanya pada sidang media majlis serah terima tugas Pengarah APMM Sarawak di sini.

Menurutnya perolehan tiga OPV yang melibatkan perbelanjaan RM700 juta itu, akan membolehkan salah sebuah dari kapal berkenaan ditempatkan di Sarawak, khususnya untuk memantau aktiviti CCG di kawasan Beting Patinggi Ali dan Beting Hempasan Banting, sementara masing-masing sebuah di Sabah dan Pahang.

Media tempatan sebelum ini melaporkan kehadiran kapal CCG selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, di perairan gugusan Beting Patinggi Ali di Laut China Selatan yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Menurut data ‘MarineTraffic’, kapal CCG 5202 dikesan di kawasan itu sejak 7 Julai, lepas sementara kehadiran kapal CCG 5203 dikesan beberapa kali di antara 23 Dis 2019 dan 13 Jan 2020, 16 Jan ke 1 Feb, 6 Feb ke 17 Feb dan 2 April ke 23 Mei tahun ini, sementara kapal CCG 5204 dikesan 17 Feb ke 2 April dan 22 Mei ke 7 Julai tahun ini di kawasan sama.

Sementara itu, mengenai majlis serah terima tugas terbabit, Kepten Maritim Zin Azman Md Yunus telah dilantik menjadi Pengarah APMM Sarawak yang baharu, menggantikan Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, yang akan berpindah tugas ke Ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Dalam pada itu, Mohd Zubil turut mengesahkan tiada anggota APMM di seluruh Malaysia dijangkiti wabak COVID-19, biarpun mereka berhadapan risiko semasa membanteras kegiatan nelayan asing yang menceroboh perairan negara, sepanjang pandemik itu berlaku setakat ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image