PETALING JAYA: Seorang mekanik akan mengharungi perjalanan sejauh 32,000km dari Malaysia ke Jerman dengan menaiki kereta Toyota Sprinter Trueno (AE86) untuk melanjutkan kisah percintaannya ke peringkat seterusnya.

Kisah mekanik itu, Engku Mohammad Hadri Engku Hassan, pertama kali disiarkan oleh satu laman fanatik kereta di Facebook, telah menerima beratus-ratus komen dan beribu perkongsian.

Perjalanan Hadri ke Eropah bermula pada 19 Ogos yang dilancarkan oleh Kementerian Pelancongan dan akan mengambil masa tiga bulan untuk sampai ke Jerman dan memandu di litar terkenal Nordschleife, lebih dikenali sebagai “The Green Hell” di komplek sukan pemotoran Nurburgring.

Menurut siaran laman fanatik kereta itu, alasan sebenar Hadri untuk menjelajah Eropah dengan kereta sendiri adalah untuk tujuan romantik iaitu untuk menikahi pasangan cinta hidupnya.

Hadri berkata, dia bukanlah seorang pelajar yang selalu mendapat keputusan pepriksaan yang terbaik di sekolah, namun beliau sangat bersemangat terhadap perkara yang paling gemari, iaitu kereta.

Semasa lawatan kerja beliau pada tahun 2007, dia telah bertemu seorang wanita Jerman yang sebelum itu ditemuinya di laman sosial. Mereka telah berbual pelbagai perkara dan perbezaan bahasa bukanlah satu masalah bagi mereka.

Pada tahun 2009, Hadri terbang ke Jerman untuk bertemu wanita tersebut. Pada ketika itu, Hadri, bersama-sama sekuntum bunga mawar dan surat cinta telah membuat pengakuan cintanya kepada wanita itu, yang menangis kegembiraan menerima cintanya. Mereka telah bersama semenjak saat itu.

Selang beberapa tahun kemudian, Hadri telah mencadangkan untuk berkahwin dengannya, dan dia bersetuju.
Pada tahun 2018, timbul di fikiran Hadri untuk ke Eropah dengan keretanya. Kebanyakan sahabatnya menganggapnya sudah gila, tetapi dia sebenarnya amat serius.

Sejak itu, beliau mula mencari penaja, termasuklah Kementerian Pelancongan, untuk membuat perjalanannya lebih mudah.

Hadri akan berpeluang bertemu dengan orang-orang baru dari pelbagai bangsa dan agama di sepanjang perjalanannya yang dijangka mengambil masa tiga bulan.
Dia akan memandu AE86nya, juga dikenali sebagai “Hachiroku” di kalangan fanatik kereta, yang mana kereta tersebut diakui tahan lasak oleh rata-rata pengguna kenderaan tersebut.

Laman itu menambah, untuk membuat penjelajahan seperti itu, Hadri memerlukan pelbagai penyelidikan, dedikasi, fikiran positif dan pengorbanan.

Perjalanan Hadri akan dikongsikannya di laman sesawang www.ae86tour.my dan laman Instagram @ae86worldtour.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image