KUANTAN: Paras air Sungai Pahang yang dilaporkan surut akibat fenomena El Nino belum berada pada tahap kritikal, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pihaknya memantau situasi berkenaan dari semasa ke semasa dan bersedia melaksanakan beberapa langkah sekiranya keadaan bertambah buruk.

“Kita tahu sekarang musim panas sudah tentu air Sungai Pahang surut jadi kita doalah dan harap hujan supaya paras air naik...setakat ini bertahan belum kritikal,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai situasi semasa Sungai Pahang.

Beliau ditemui pemberita selepas mengumumkan bayaran keuntungan unit saham ladang Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) di sini, hari ini.

Bernama melaporkan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau Sungai Pahang semalam yang surut berikutan cuaca panas kering, selain menitahkan agar solat hajat dilaksanakan di semua masjid dan surau supaya paras air sungai kembali normal.

Laman web Jabatan Meteorologi melaporkan daerah Jerantut, Temerloh, Maran, Bera dan Raub merekodkan status cuaca panas tahap 1 iaitu berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam.

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan KOSMA akan membayar keuntungan unit ladang kepada lebih 1,400 anggota sebanyak RM4,500 seunit melibatkan implikasi kewangan RM21.4 juta, yang akan dikreditkan ke akaun bank mereka bermula hari ini.

Menurut beliau, keuntungan bersih yang dapat dibahagikan dalam bentuk keuntungan unit ladang kepada anggota KOSMA merosot sebanyak 41.45 peratus iaitu daripada RM34.9 juta pada 2022 kepada RM21.4 juta tahun lepas.

Ia berikutan pendapatan hasil buah tandan baru (BTB) telah berkurangan sebanyak 34.23 peratus iaitu jualan BTB pada 2022 direkodkan sebanyak lebih RM237 juta, berbanding hanya RM156 juta tahun lepas.

Bagi dividen modal syer, KOSMA akan membayar kepada anggota, tertakluk pada kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Mesyuarat Agong Tahunan ke-39 yang akan diadakan pada 25 Mei ini.