KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan perisian Parental Control Tools bagi memantau kandungan dalam talian yang dilihat oleh anak-anak.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Parental Control Tools itu membolehkan ibu bapa menapis, mengehadkan dan menyekat kandungan yang dilihat serta aktiviti anak-anak dalam talian, dan ibu bapa atau penjaga juga boleh menggunakan perkhidmatan perisian lain bagi tujuan sama.

Beliau berkata lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan ialah CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME.

“Kebanyakan penyedia platform media sosial juga mempunyai had umur pengguna akaun dengan hanya mereka yang berumur 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan membuka akaun media sosial.

“Bagi memastikan syarat ini dipatuhi, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka. Ini kerana kanak-kanak masih boleh mendapat manfaat kandungan positif dengan melayari media sosial bersama-sama ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang tahu mengenai langkah-langkah yang diambil kementerian bagi memastikan anak-anak bawah 15 tahun diharamkan memiliki akaun sosial media, agar mereka tidak mengikuti trend yang tidak baik di platform berkenaan.

Fahmi berkata bagi menangani risiko dan ancaman dalam talian terhadap kanak-kanak sama ada disebabkan orang lain atau tingkah laku mereka sendiri, pelaksanaan program berbentuk pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan internet terus ditingkatkan.

Beliau berkata usaha itu dilakukan menerusi inisiatif-inisiatif seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) di sekolah-sekolah dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) di seluruh negara.

“Pelaksanaan inisiatif ini diperkasakan melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agensi lain dalam membangunkan modul pendidikan berkenaan perlindungan kanak-kanak dalam talian untuk ibu bapa, penjaga, dan kanak-kanak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Kamal berkaitan keperluan agar aspek kewarganegaraan digital diterapkan dalam silibus kurikulum, Fahmi berkata ia memerlukan kerjasama rentas kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Digital dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Cadangan yang baik ini akan kita susuli, pada waktu ini ia akan bermula dengan perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan mengenai aspek keselamatan dalam talian, tetapi boleh dikembangkan dalam aspek yang disebutkan tadi (kewarganegaraan digital).

Kewarganegaraan digital merangkumi konsep yang dapat digunakan untuk memberikan pengetahuan mengenai penggunaan teknologi dunia maya dengan baik dan benar dengan mengetengahkan perilaku baik, penerapan nilai murni dan kebertanggungjawaban dalam penggunaan teknologi digital. - Bernama