KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur meneruskan aliran menaiknya hari ini seiring peningkatan pasaran niaga hadapan getah serantau disebabkan kebimbangan cuaca yang melanda Thailand serta ringgit yang lemah berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun diniagakan lebih kukuh pada Rabu dalam persekitaran kebimbangan cuaca pengeluar getah utama Thailand dan yen yang lemah.

Dilaporkan Jabatan Metereologi Thailand (TMD) mengeluarkan amaran hujan lebat dan banjir di kawasan utara negara itu dari 7 hingga 13 Mei, serta hujan lebat berkemungkinan melanda wilayah selatan, yang berpotensi merosakkan tanaman.

Namun begitu, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah apabila penggubal dasar AS memberikan petunjuk yang bercampur-campur, sekali gus mencetuskan persoalan tarikh kemungkinan penurunan kadar faedah AS.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat lapan sen kepada 775 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok 3.0 sen kepada 724.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 770 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 726.5 sen sekilogram