Pekerja kilang rugi RM10,950 ditipu sindiket pelaburan

KEPALA BATAS: Seorang pekerja kilang bukan sahaja kempunan wang pulangan pelaburan malah berputih mata apabila wang simpanan lelaki itu sebanyak RM10,950 lesap akibat ditipu sindiket pelaburan Forex, dalam kejadian di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 51 tahun itu terpedaya dengan sindiket terbabit selepas ditawarkan dengan pelaburan mata wang asing patuh syariah yang menawarkan pulangan dalam masa singkat, melalui aplikasi WhatsApp.”Mangsa dipujuk oleh seorang wanita yang mendakwa ejen syarikat pelaburan itu untuk melabur dengan jumlah yang kecil dahulu sebelum dia bersetuju memilih satu pelan yang ditawarkan iaitu sebanyak RM350 dan berpeluang mengaut keuntungan segera berjumlah RM25,000.”Dia kemudiannya dipaksa membuat beberapa bayaran untuk menuntut wang keuntungan tersebut sehingga membuat empat transaksi memasukkan wang ke dalam dua akaun bank diberikan ejen itu yang kesemuanya berjumlah RM10,950,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas gagal menghubungi ejen syarikat pelaburan berkenaan sebelum membuat laporan polis semalam berhubung kejadian tersebut. Sementara itu, dalam kes berasingan Noorzainy berkata seorang wanita yang juga peniaga makanan kerugian RM9,800 kerana ditipu sindiket didatangi warga Afrika yang dikenali sebagai African Scam kononnya terdapat bungkusan atas nama mangsa dan dia perlu membayar wang jika mahu mendapatkannya.

Katanya, bungkusan yang kononnya mempunyai barangan berharga dan menyalahi undang-undang itu tiba di sebuah pejabat syarikat penghantaran di Butterworth manakala mangsa pula tinggal di Jalan Raja Uda, Butterworth sebelum wanita tersebut dihubungi seorang lelaki kononnya pekerja di situ.”Lelaki itu memaklumkan dalam bungkusan tersebut mengandungi mata wang asing dalam jumlah yang besar selepas melalui proses imbasan, jika wanita itu enggan memberikan wang untuk mendapatkan hadiah tersebut dia mengugut akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.”Suspek turut memaklumkan kepada wanita itu jika dia ditahan boleh dipenjara untuk tempoh yang lama, mangsa yang takut telah mengikut arahan lelaki itu dengan memindahkan wang sebanyak enam transaksi ke satu akaun diberikan lelaki itu,“ katanya. Menurutnya, lelaki itu menghubungi mangsa untuk terus meminta wang dan membuatkan wanita tersebut pelik sebelum dia menghubungi syarikat penghantaran serta dimaklumkan tiada barangan atas namanya sebelum membuat laporan polis semalam.”Kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis juga sedang menjalankan siasatan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun digunakan untuk memindahkan wang daripada mangsa,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image