KUALA LUMPUR: Seorang pekerja swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan aktiviti penjualan rumah tanpa lesen, lima tahun lepas.

Tan Khai Ho, 43, didakwa menjalankan satu penjualan rumah tanpa lesen daripada Lembaga Penilai dan Pentaksir Malaysia dan diklasifikasikan menyamar sebagai penilai berdaftar, pentaksir berdaftar, ejen harta tanah berdaftar atau pengurus harta berdaftar.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Menara HSC di Wangsa Maju di sini pada 23 Mei 2019.

Tan didakwa mengikut Seksyen 30(1) (e) Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, jika sabit kesalahan.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh manakala tertuduh diwakili peguam Lee Peggie.