PUTRAJAYA: Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani 2023-2027 yang dilancarkan hari ini adalah sesuai dan praktikal bagi merealisasikan konsep Malaysia Madani, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Pelan yang turut dikenali sebagai Pelan Transformasi Al-Falah itu berlandaskan lima teras iaitu Pentadbiran Islam Mampan; Kesejahteraan Insan; Kemuliaan Syariah; Kepimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam, katanya.

Menghuraikan pelan berkenaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini, beliau berkata teras Pentadbiran Islam Mampan adalah berpandukan dua fokus iaitu pengislahan dasar tadbir urus institusi Islam serta pemantapan penyelidikan dan persuratan Islam.

“Teras Kesejahteraan Insan pula tertumpu kepada kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam serta pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun, manakala teras Kemuliaan Syariah tertumpu kepada usaha memartabat perundangan dan kehakiman Islam serta penghayatan nilai masyarakat Madani.

“Teras Kepimpinan Berdaya Cipta antaranya memeta fokus pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti serta pemerkasaan kesenian Islam,” katanya.

Teras Kehormatan Institusi Islam pula memusat fokus terhadap keunggulan pendidikan Islam dan dakwah berhikmah serta cakna kepada usaha pemodenan prasarana institusi Islam termasuk institusi sekolah agama, pondok, tahfiz dan kelas agama fardu ain, kata Mohd Na’im.

Beliau berkata pelan untuk tempoh lima tahun itu direncana berasaskan falsafah dan semangat hayya ‘alal falah (mari bersama menuju kejayaan) yang dilaungkan setiap kali azan.

“... hayya ‘alal falah sentiasa lestari dalam jiwa dan minda umat Islam khususnya kita sebagai jentera pengurusan hal ehwal Islam,“ katanya.

Terdapat enam tonggak konsep Malaysia Madani yang diperkenal pada 19 Jan lepas iaitu kemampanan; kesejahteraan; daya cipta; hormat; keyakinan dan ihsan.

Mohd Na’im berkata beliau akan memantau prestasi pelaksanaan Pelan Transformasi Al-Falah itu melalui sesi penilaian yang akan dilakukan selepas enam bulan.

“Kita akan keluarkan kad laporan prestasi dari semasa ke semasa untuk memaklumkan hasilnya kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im menyifatkan kenyataan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang mahu membakar al-Quran pada setiap Jumaat sebagai perbuatan provokatif yang boleh mencetus kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Perbuatan ini tidak boleh diterima. Saya harap kerajaan Sweden bertindak kerana kita bimbang akan mencetuskan suasana tidak harmoni kerana tindakan Paludan ini mencabar umat Islam,” katanya.

Paludan, sebelum ini bertindak membakar kitab suci Islam itu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

Mohd Na’im sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan menyegerakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden itu. - Bernama