TELUK INTAN: Pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian langgar mati tiga warga Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri Rabu lepas, mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mohd Azizol Abd Rasheed, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Pembantu kedai makanan itu didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis Tetrahydro-Cannabinol (THC) ke dalam diri sendiri dengan cara menyalahi undang-undang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dekat sini, kira-kira 7.45 malam pada 10 April lepas.

Mohd Azizol didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 2003) dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Rishan Kumar menawarkan jaminan RM8,000 dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain memaklumkan tertuduh telah direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Faustina Francis yang mewakili Mohd Azizol merayu supaya jaminan minimum dikenakan atas alasan tertuduh menanggung ibunya.

Majistret kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan dua penjamin, selain syarat tambahan lelaki itu perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu sekali dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan patologi.

Terdahulu, di mahkamah yang sama, empat lelaki warga Pakistan berumur antara 24 tahun hingga 49 tahun, yang didakwa memukul Mohd Azizol menerusi video yang tular dalam laman sosial sebelum ini direman empat hari hingga Isnin.

Majistret membenarkan permohonan pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dua hari lepas, media melaporkan hajat enam warga Pakistan untuk mengerjakan solat Aidilfitri tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas dilanggar kereta yang terbabas di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan - Bidor di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian pukul 8.10 pagi itu, kesemua mangsa sedang berjalan ke masjid berdekatan apabila sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah terbabas dan melanggar pejalan kaki berkenaan.

Semalam, media melaporkan polis menahan empat lelaki warga Pakistan kerana memukul pemandu kereta terbabit susulan kemalangan jalan raya yang menyebabkan tiga rakan senegara mereka maut di lokasi kejadian.