KUALA LUMPUR: Gelombang pemikiran khawarij dan takfiri di negara ini kini berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan untuk memastikan segala usaha dan program-program yang diadakan dapat membendung gelombang pemikiran itu.

“Bagi menangani pemikiran khawarij dan takfiri daripada terus berleluasa, pihak kerajaan sentiasa memantau pengajaran agama Islam sama ada melalui ceramah dan kelas-kelas pengajian di tempat awam seperti masjid dan surau juga dalam media sosial agar dapat memupuk semangat perpaduan dan tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pemikiran khawarij ialah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan “zalim”, manakala takfiri merujuk kepada sikap seseorang yang mudah menuduh orang lain keluar daripada Islam.

Mohd Na’im berkata kerajaan juga akan memastikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah benar-benar bertapak dan difahami masyarakat Islam.

Beliau berkata sekiranya didapati pendakwah menimbulkan isu-isu yang mengelirukan masyarakat dan memecahbelahkan perpaduan, pendakwah terbabit akan dipanggil untuk diberi peringatan oleh Jabatan Mufti dan pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan dengan menarik semula tauliah mengajar sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kerajaan akan memastikan umat Islam di Malaysia berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menjauhi sikap mengkafirkan sesama Islam hanya disebabkan berlakunya perbezaan pandangan mengenai isu-isu tertentu,” katanya.

Mengulas mengenai pemerkasaan undang-undang syariah, Mohd Na’im berkata Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam akan menyediakan laporan hasil kajian dan pandangan terhadap semua isu berbangkit dalam tempoh enam bulan atau tidak melebihi satu tahun.

Beliau berkata laporan itu akan dibentangkan kepada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Semua pihak diminta bersabar dan memberi ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan kajian dan seterusnya mengesyorkan cadangan dan pandangan mereka terhadap semua isu yang berbangkit.

“Masyarakat juga tidak perlu bimbang tentang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina yang dikatakan melemahkan kuasa mahkamah syariah dan membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk mencabar enakmen dan ordinan jenayah syariah di semua negeri,” katanya. - Bernama