PUTRAJAYA: Penarikan balik Perintah Tahan Pelepasan (WRO) yang dikenakan terhadap syarikat Sime Darby Plantation oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP), memberi impak positif kepada industri sawit negara.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar (gambar) berkata ini kerana ia berkait rapat dengan pasaran eksport sawit negara, kelangsungan perniagaan industri prinsipal, usahasama dan subsidiari sawit serta reputasi Malaysia untuk tidak dikaitkan dengan amalan buruh paksa.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan di atas segala usaha dan komitmen Sime Darby Plantation dalam menangani isu-isu buruh paksa yang didakwa oleh US CBP.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Sime Darby bertujuan bagi memperkasakan lagi aspek kesejahteraan pekerja, selaras dengan ketetapan yang digariskan di bawah undang-undang perburuhan serta instrumen-instrumen antarabangsa seliaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sivakumar berkata kejayaan Sime Darby Plantation, dengan membangunkan inisiatif seperti zero recruitment policy, pemegangan pasport oleh pekerja dan membangunkan mekanisme penyelesaian aduan dalaman syarikat, harus dijadikan panduan atau model amalan terbaik oleh industri-industri lain.

US CBP sebelum ini mengenakan WRO terhadap syarikat Sime Darby Plantation sejak 2020, sebelum menarik balik perintah berkenaan pada 31 Jan.

Sementara itu Sivakumar turut menggesa pihak industri, untuk mempertingkatkan lagi usaha mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif kepada pekerja, serta tahap pematuhan terhadap piawaian perburuhan iaitu Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025.

Beliau berkata NAPFL menyediakan platform bagi memperjuangkan konsep keterangkuman dengan semua pihak berkepentingan dilibatkan, bagi mewujudkan mekanisme terbaik untuk membendung amalan buruh paksa menjelang tahun 2030.

Kementerian Sumber Manusia, katanya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa sebarang bentuk penindasan atau eksploitasi tidak boleh dikompromi dan aktiviti penguatkuasaan juga dipergiatkan serta mana-mana pihak yang melakukan kesalahan akan dikenakan hukuman yang tegas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image