KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM27.0 bilion bagi separuh pertama 2022, merosot sebanyak RM7.06 bilion atau 21 peratus berbanding RM34.06 bilion yang disaksikan dalam tempoh sama pada 2021.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku kedua 2022 turut menyusut sebanyak RM3.63 bilion kepada RM11.14 bilion daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2022 pada RM4.88 bilion, menyumbang 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku dikaji, kata dana persaraan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, jangkaan pertumbuhan global telah lari daripada sasaran, yang menyebabkan tercetus jualan berterusan di pasaran dunia.

“Aliran menurun yang konsisten ini memberi impak kepada pendapatan ekuiti KWSP, terutamanya melalui pasaran saham global yang merosot antara 17 peratus dan 21 peratus semasa separuh pertama 2022.

“Bagaimanapun, kepelbagaian pelaburan KWSP dalam kelas aset, pasaran serta mata wang yang berbeza seperti yang ditetapkan dalam peruntukan aset strategiknya (SAA), telah membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan dalam keadaan pasaran yang bergolak dan melindungi pulangan pelaburan jangka panjangnya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekuiti swasta telah berjaya memberikan pulangan yang sihat berjumlah RM1.15 bilion, peningkatan lebih 100 peratus berbanding RM0.54 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2021.

Instrumen pendapatan tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan setara, serta pinjaman dan bon, menyumbang sebahagian besar daripada pendapatan pelaburan kasar bagi suku kedua 2022, pada 42 peratus daripada jumlah pendapatan atau RM4.73 bilion.

“Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.20 bilion, manakala hasil daripada instrumen pasaran wang menjana RM0.33 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan bagi kelas aset ini,“ katanya.

Pada suku kedua 2022, pelaburan luar negara KWSP, yang membentuk 36 peratus daripada jumlah aset pelaburannya, menjana RM5.51 bilion hasil, mewakili 49 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sejumlah RM1.16 bilion daripada RM11.14 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana bagi Simpanan Syariah pada suku kedua 2022, manakala RM9.98 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Mengambil kira kesan RM2.15 bilion yang telah dihapus kira untuk ekuiti tersenarai pada suku tersebut, jumlah pendapatan pelaburan KWSP pada suku kedua 2022 adalah RM8.98 bilion.

Setakat Jun 2022, aset di bawah pengurusan KWSP adalah sebanyak RM957.25 bilion, selepas mengambil kira pengeluaran berkaitan pandemik yang berjumlah RM44.6 bilion.

“Bagaimanapun, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat apabila caruman yang diterima berjumlah RM43.23 bilion setakat Jun 2022 telah disokong oleh pendapatan pelaburan,“ katanya lagi.

KWSP ketika mengulas mengenai prospek telah mengekalkan unjuran positif dalam pasaran tempatan dan percaya bahawa pemulihan ekonomi Malaysia akan terus berlanjutan untuk baki 2022 berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus yang direkodkan semasa suku kedua.

“Bagaimanapun, KWSP tetap berhati-hati terhadap risiko utama yang terus menjejaskan pasaran dan sentimen pelabur,“ katanya.

Sementara itu, KWSP menekankan bahawa keahliannya menunjukkan pertumbuhan yang beransur-ansur dan stabil dalam tempoh lima tahun lepas dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 2.0 peratus.

Ini disebabkan pertumbuhan pendaftaran ahli baharu yang mantap iaitu sebanyak 177,230 pada suku kedua 2022, menjadikan jumlah keseluruhan bagi separuh pertama 2022 kepada 323,416 dan jumlah ahli KWSP setakat Jun 2022 ialah 15.5 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak lapan juta adalah ahli aktif, yang tertinggi direkodkan dalam tempoh lima tahun lepas berbanding 7.2 juta pada 2018,“ katanya.

Kadar pengambilan bagi kedua-dua program caruman sukarela KWSP juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

Pendaftaran baharu keahlian i-Saraan melonjak daripada 17,142 pada separuh pertama 2021 kepada 311,028 menjelang separuh pertama 2022, manakala pendaftaran baharu Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP menokok daripada 1,521 kepada 33,875 dalam tempoh yang sama. - Bernama