KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meminta penduduk di Pasir Puteh mengemukakan cadangan atau maklum balas terhadap Draf Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh 2035 (Penggantian) (RTJPP2035(P)) yang telah tamat tempoh penggunaannya tahun lepas.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata pandangan orang awam amat penting bagi membolehkan semua pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil kira maklum balas dalam menambah baik draf pembangunan daerah itu.

Beliau berkata ia juga untuk memastikan setiap pengubahan, pembatalan atau penggantian suatu rancangan tempatan di daerah itu dapat dinilai dan diterima semua pihak sebelum draf tersebut diwartakan sebagai dokumen rasmi kerajaan negeri.

“Draf ini akan disiarkan kepada umum bermula hari ini hingga 30 Nov depan di lokasi hebahan atau menerusi program publisiti yang dianjurkan pihak terlibat,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi RTJPP2035(P) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata sebarang maklum balas boleh dikemukakan secara manual atau dalam talian di lokasi hebahan di pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan (PLANMalaysia@Kelantan), Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

Orang awam juga boleh melayari laman sesawang yang disediakan pihak terlibat antaranya http://epublisiti.townplan.gov.my/publisiti/ atau http://mdpputeh.kelantan.gov.my.

RTJPP2035(P) merupakan dokumen yang mengandungi peta cadangan dan pernyataan bertulis menerangkan secara terperinci setiap cadangan PBT di bawah MDPP berkenaan perancangan fizikal seperti guna tanah, alam sekitar, infrastruktur, utiliti, landskap dan lalu lintas. — Bernama