KUALA LUMPUR: Penerimaan rakaman audio yang didakwa perbualan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan seorang pemimpin dari Timur Tengah boleh melanggar hak asasi bekas perdana menteri itu untuk perbicaraan yang adil, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa sekiranya rakaman audio itu diterima sebagai bukti dalam perbicaraan yang membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, ia juga secara tidak langsung telah melanggar hak Najib kepada privasi seperti yang termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai hak perbicaraan yang adil, Muhammad Shafee berhujah bahawa terdapat kebimbangan berhubung kaedah kesahihan yang digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan rakaman audio itu.

“Mungkin wajar pada peringkat ini untuk mempertimbangkan perkara-perkara yang mesti diwujudkan semasa memperkenalkan rakaman termasuk sama ada cakera padat (CD) itu tidak diusik atau diubah dalam apa-apa cara dan ia harus dipastikan CD itu dalam simpanan siapa sepanjang masa.

“SPRM mungkin tidak mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 43 Aktanya sendiri tentang cara mendapatkan rakaman audio secara sah... ia mesti ditafsirkan sebagai tidak berperlembagaan kerana ia melanggar hak privasi tertuduh, hak untuk perbicaraan yang adil di bawah Perkara 5(1) Perlembangaan Persekutuan kerana perkara yang sama membenarkan kebolehterimaan bukti yang menafikan hak tertuduh untuk privasi,” kata peguam itu.

Peguam itu berhujah demikian berhubung permohonan yang dibuat Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, supaya rakaman audio itu diterima masuk untuk menyangkal pembelaan bekas perdana menteri itu bahawa wang yang masuk ke akaun bank peribadinya adalah sumbangan.

Rakaman audio tersebut dimainkan di mahkamah minggu lepas melalui CD, semasa pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-42, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mengenal pasti satu daripada suara itu kedengaran seperti Najib.

Suara yang didakwa kedengaran seperti Najib telah memanggil seorang individu sebagai ‘Yang Teramat Mulia’ dan bercakap mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu.

Sri Ram berkata rakaman itu harus diterima masuk mengikut Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bahawa ia adalah ‘peruntukan khas’ yang mengatasi Seksyen Seksyen 65 Akta Keterangan berkaitan bukti berdokumen.

“Bagi tujuan itu, kami juga berhujah bahawa pita rakaman atau rakaman seperti ini adalah satu dokumen. Yang Arif, meskipun audio itu diperoleh secara tidak teratur atau tidak sah, ia masih boleh diterima masuk,“ kata Sri Ram.

Muhammad Shafee berkata Seksyen 41(A) Akta SPRM hanya berkuat kuasa pada Oktober 2018 dan ia tidak boleh digunakan secara retrospektif kerana pertuduhan yang dihadapi Najib bermula dari 2011 hingga 2014.

“Hujahan pihak pendakwaan bahawa hanya kerana rakaman audio itu diperoleh di bawah Seksyen 41(A), ia sepatutnya diterima adalah “simplistik”.

“Seksyen 43 akta yang sama telah meletakkan prosedur yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan rakaman audio tersebut. Bolehkah SPRM hanya menggunakan sebarang perbualan tanpa mematuhi undang-undang mereka sendiri?” soal peguam itu.

Hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok manakala perbicaraan disambung petang ini dengan Pengerusi Kumpulan Media The Edge Tan Sri Tong Kooi Ong memberi keterangan.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Bernama