KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 21 bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga emas menggunakan sebatang kayu dan skop, tahun lepas.

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azizi Abd Rahman, 40, selepas lelaki berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 27 Julai tahun lepas.

Mohd Azizi bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas dengan niat melakukan perbuatan itu ke atas Ong Lay Fu, 77, dengan mengambil wang tunai RM6,000 dan dua buah telefon bimbit di sebuah rumah di Taman P. Ramlee, Wangsa Maju di sini pada 2.30 petang, 27 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca Bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam Zainal Omar yang mewakili Mohd Azizi memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua anak yang masih kecil dan seorang ibu berusia 76 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana kejadian itu melibatkan mangsa warga emas.

Berdasarkan fakta kes, pada 2.30 petang, 27 Julai 2023, semasa mangsa berada di ruang tamu rumah dan sedang menjaga cucu perempuannya, tertuduh bersama dua rakannya telah masuk ke dalam rumah mangsa sambil memegang skop dan kayu serta meminta warga emas itu menyerahkan wang dan barang berharga, selain mengancam memukul suami wanita itu menggunakan skop sekiranya enggan memberi kerjasama.

Mangsa telah menyerahkan wang dan dua telefon bimbit berkenaan kerana takut diancam tertuduh dan rakan-rakannya sebelum tertuduh dan rakan-rakannya beredar meninggalkan rumah mangsa bersama barang-barang berkenaan.