KUALA LUMPUR: Pengerusi Spanco Sdn Bhd Tan Sri Robert Tan Hua Choon didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9 bilion.

Tan, 83, yang hadir ke mahkamah dengan mengenakan sut berwarna biru dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham (pertuduhan), saya tidak salah,“ katanya.

Tan didakwa telah menipu Kementerian Kewangan dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk “Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet”, Unit Kerjasama Awam Swasta di kementerian itu.

Ia berhubung terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di Spanco melalui dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’, dan dengan itu Tan secara tidak jujur mendorong Kementerian Kewangan untuk menganugerahkan kontrak “Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet” bernilai RM3,966,386,628 kepada Spanco, yang mana kementerian itu tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Tender, Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan, Presint 2, Persiaran Perdana, Putrajaya antara 27 dan 28 Feb 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin dan memaklumkan kepada mahkamah jumlah itu dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik sekiranya ada, serta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi pendakwaan secara terus atau melalui pihak ketiga,“ katanya.

Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah jaminan yang ditawarkan, namun memaklumkan sekiranya pasport ditahan, ia akan menyekat perjalanan anak guamnya.

“Mohon mahkamah membenarkan anak guam melaporkan diri ke pejabat SPRM tiga bulan sekali kerana beliau menghidapi pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, sakit lutut dan sakit tulang belakang. Anak guam juga bukanlah seorang yang berpotensi untuk melarikan diri,“ katanya pada prosiding yang turut dihadiri peguam pemerhati dari Spanco Sdn Bhd, Razlan Hadri Zulkifli.

Suzana membenarkan Tan diikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak menghubungi saksi pendakwaan secara terus atau melalui pihak ketiga dan melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.