KOTA BHARU: Pendirian Kerajaan Perpaduan yang menyatakan komitmen akan menyelesaikan masalah air di Kelantan memberikan harapan bahawa akan ada penyelesaian untuk menghilangkan “penderitaan” yang ditanggung rakyat negeri ini selama ini.

Seorang pengguna Rosnorhusna Abdul Rahman, 36, berkata khabar gembira itu sekali gus menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakyat negeri Kelantan walaupun terdapat perbezaan fahaman politik.

“Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim belum sampai setahun lagi, namun terdapat pelbagai projek, inisiatif dan usaha yang dilakukan oleh beliau demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Jadi tidak mustahil sekiranya isu bekalan air yang ditanggung oleh rakyat Kelantan sejak sekian lama ini dapat diselesaikan juga oleh beliau,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Berkongsi pengalaman mengenai bekalan air, Rosnorhusna dari Kampung Pinggiran Aril, Bachok berkata beliau telah menanggung kesengsaraan dengan ketiadaan bekalan air sejak lima tahun lepas.

Katanya, selepas beliau sekeluarga berpindah ke kawasan berkenaan pada tahun 2018 hampir setiap hari kehidupan mereka berada dalam kegelisahan memikirkan cara untuk mendapatkan bekalan air.

“Untuk mendapatkan bekalan air, saya perlu menelefon pihak berkaitan untuk menghantar bekalan air menggunakan lori tangki. Setiap bekalan yang diperoleh hanya mampu menampung kegunaan untuk tempoh dua hari.

Oleh itu, saya berharap dengan adanya usaha dan keprihatinan Perdana Menteri untuk menangani isu ini akan terlaksana sekali gus ia dapat menghilangkan ‘penderitaan’ yang ditanggung oleh rakyat di negeri ini sejak sekian lama,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan Perpaduan telah mengambil pendirian untuk menangani masalah yang berkaitan dengan bekalan air untuk pengguna di negeri Kelantan, dan ia perlu diselesaikan tanpa mengira fahaman politik.

Sementara itu, seorang pengguna Muhammad Firdaus Ab Ghaffar, 31, berkata, bekalan air di negeri ini telah berlanjutan puluhan tahun bahkan melepasi beberapa kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini.

“Saya tidak menyangka, isu bekalan air di negeri ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri dalam lawatan beliau ke negeri ini pada Jumaat, selain turut mengumumkan akan berusaha menanganinya.

Ianya sekali gus menunjukkan kewibawaan beliau dalam mentadbir bukan sahaja negara bahkan turut cakna untuk melakukan perubahan kepada negeri serta menjaga kesejahteraan rakyat walaupun negeri Kelantan merupakan negeri pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menyambut baik hasrat Anwar untuk menangani isu bekalan air di negeri ini sekali gus berharap penderitaan rakyat Kelantan bakal berakhir.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata masalah bekalan air di negeri ini bukan sahaja membebankan rakyat untuk mendapatkan bekalan, malah penduduk di sesetengah kawasan terpaksa menerima bekalan air yang tidak bersih menyerupai air teh susu. - Bernama