MUAR: Penggunaan air yang tinggi dan tekanan air rendah akibat lokasi di hujung kawasan sistem bekalan air antara punca Felda Bukit Permai di Kulai mengalami gangguan bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata bagi mengatasi masalah itu pihak operator air negeri Ranhill SAJ Sdn Bhd telah pun menyediakan beberapa lori dan tangki air bagi menampung keperluan air pengguna.

“Kira-kira 200 rumah terjejas bekalan air pada Aidilfitri tahun ini berbanding lebih 2,000 rumah pada tahun lepas dan kali ini kawasan terjejas melibatkan sekitar daerah Kulai dan Kluang.

“Namun, saya dimaklumkan 10 peratus kawasan yang mengalami gangguan bekalan air ini telah pulih mulai hari ketiga Aidilfitri secara berperingkat,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir di Dataran Bukit Pasir di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri menjangkakan sebanyak 147 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air pada Aidilfitri sebagaimana yang direkodkan pada tahun lepas.

Bagaimanapun, Mohamad Fazli berkata pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan pengguna dapat bekalan air secukupnya sepanjang musim perayaan itu.

“Tahun lepas, selain Kluang dan Kulai, beberapa kawasan lain turut terjejas seperti Labis di Segamat, Parit Sulong di Batu Pahat dan beberapa kawasan di Kota Tinggi. Syukur tahun ini tiada gangguan yang kritikal berlaku dilaporkan.

“Bagi Kulai dan Kluang, kita jangkakan dapat menyelesaikan masalah itu pada tahun 2027 apabila projek tebatan banjir Empangan Sembrong di Batu Pahat siap sepenuhnya yang juga berfungsi sebagai lokasi tadahan air,“ kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pasir itu.

Sementara itu, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Pasir yang bermula sejak 11 pagi tadi dihadiri kira-kira 5,000 penduduk di sekitar kawasan berkenaan.